Jumaat, 30 Julai 2010

Permainan Tradisional

Selain daripada permainan tradisional 'Mencari Cucu', cikgu juga memperkenalkan kami kepada beberapa permainan tradisional yang lain. Semalam saya dan kawan-kawan dapat mencuba beberapa permainan tradisional. Permainan-permainan itu ialah; Capteh, Batu Seremban, Congkak dan Gasing.




Tahukah kamu bagaimana hendak bermain permainan-permainan ini? Sungguh seronok, terutama jika ia dimainkan beramai-ramai bersama kawan-kawan.


Rabu, 28 Julai 2010

Mencari Cucu

Baru-baru ini, cikgu menayangkan video "Mencari Cucu". Kami bercerita mengenai perbezaan permainan dahulu dan sekarang. Permainan 'Mencari Cucu' merupakan permainan yang selalu dimainkan pada zaman dahulu.
Pada zaman dahulu, tidak ada banyak permainan seperti sekarang. Sebab itu permainan ini dimainkan. Permainan ini juga harus dimainkan beramai-ramai.
Cikgu memberi kami peluang bermain permainan itu. Dalam permainan ini, murid-murid yang menjadi 'cucu' berdiri dalam bulatan sambil pegang tangan. Seorang murid akan menjadi 'nenek' dan akan berdiri di tengah bulatan. Matanya akan ditutup dengan pelitup mata. Kemudian, 'cucu-cucu' akan menyanyikan lagu ini:

'Nenek- nenek si bongkok tiga,
Siang mengantuk malam berjaga,
Mencari nenek di mana saja,
Nenekku kahwin dengan anak raja.
Seronok sekali memainkan permainan ini.

Inilah klip video yang diambil daripada filem 'Musang Berjanggut'. Lucunya!


Teka-Teki

Setelah belajar cara membuat pantun, saya hendak cuba mencipta teka-teki pula.

Saya berbulu tapi bukan burung,
Saya boleh terbang tapi tidak boleh jalan,
Tekalah saya!


Saya dibuat daripada kayu tapi bukan pokok,
Saya berlubang tetapi bukan sepon,
Cuba teka saya.


Saya berbentuk bujur seperti biji durian,
Tali digunakan untuk memutar saya.

Cuba teka siapa saya.

Cuba teka apakah jawapannya.

Emel saya jika kamu ingin tahu jawapannya.

Selamat Mencuba!



Selasa, 27 Julai 2010

Pantun karangan saya

Hari ini, cikgu kenalkan saya kepada pantun. Terdapat pelbagai jenis pantun. Saya amat tertarik kerana pantun mempunyai irama yang cantik.
Saya juga belajar bagaimana hendak menulis pantun. Inilah pantun ciptaan saya:

Kawan-kawan bermain ting-ting
Bersorak,berlari,bersuka ria
Bahasa Melayu sangat penting
Tidak digunakan, pupuslah ia.
Bagaimana? Bagus ke tidak?
Cubalah cipta satu pantun.

Isnin, 26 Julai 2010

Menziarahi Nenek Saya - Mengenali Lagu Rakyat

Hari ini saya menziarahi nenek saya. Di sana, adik saya, Sakeenah, yang berumur tiga minggu, menangis. Nenek saya telah mendodoikannya dengan lagu ini:

Tepuk amai-amai,
Belalang kupu-kupu,
Tepuk biar ramai,
Nanti malam upah susu.


Susu lemak manis,
Santan kelapa muda,
Adik jangan nangis,
Ibu pergi kerja.

Sakeenah pun berhenti menangis. Kemudian saya meminta lagu lain. Ini lagunya:

Buai laju-laju,
Sampai pohon sena,
Apa dalam baju,
Sekuntum bunga Cina.


dan

Potong bebek angsa,
Masak di kuali,
Nyonya minta dansa,
Dansa empat kali,
Sorong ke kiri,
Sorong ke kanan,
Lalalalalalalalalalala


Ayah saya juga memberi saya satu lagi lagu:


Air pasang pagi
Surut pukul lima,
Nyonya bangun pagi,
Siram pokok bunga.

Pokok bunga melor,
Tanam tepi pantai,
Itik bertelur,
Ayam menetas.


Saya suka lagu yang terakhir kerana saya pernah dengar lagu itu.

Lawatan ke Muzium Penyu dan Kura-kura

Darmawisata Bahasa Melayu kali ini membawa saya dan kawan-kawan ke Muzium Penyu dan Kura-kura. Muzium ini terletak di Kebun Cina Singapura.

Di sana, pemandu wisata telah membawa kami ke tempat penyu dan kura-kura disimpan. Pemandu wisata memberi banyak fakta tentang kehidupan kura-kura dan penyu. Dia menunjukkan seekor kura-kura yang berkulit melengkong akibat tidak dijaga dengan baik. Saya berasa geli dan kasihan melihat penyu itu.

Kemudian, kami diberi peluang untuk memberi penyu makan. Saya telah memberi penyu makan timun. Seronok sekali melihat penyu mengigit timun yang saya hulurkan itu.


Melalui lawatan ini, saya dikehendaki membuat sebuah klip video mengenai perbezaan penyu dan kura-kura.


Lihatlah hasil video saya ini.

Pondok Buruk

Dalam kelas modular sastera, saya dan kawan-kawan telah diperkenalkan kepada novel 'Sepandai-pandai Tupai Melompat'. Melalui novel ini, saya telah mempelajari banyak perkataan baharu.

Bab 3 dalam novel ini mengisahkan tentang lima orang kawan yang ingin tahu tentang sebuah pondok buruk di dalam hutan. Salah seorang daripada mereka asyik terdengar suara orang dari sebuah pondok buruk. Rupa-rupanya ada penjenayah di dalam pondok buruk itu. Penjenayah itu adalah bapa salah seorang daripada mereka. Lalu mereka bersepakat untuk menangkap penjenayah itu.

Sebagai aktiviti lanjutan, cikgu menyuruh kami membayangkan keadaan pondok buruk dan kemudian melukiskannya.

Setelah itu, baharulah cikgu menayangkan video pondok buruk pula. Kami kemudian berbincang mengenai keadaan pondok buruk. Pondok buruk adalah sebuah rumah yang sudah lama. Tiada orang tinggal di dalam pondok buruk itu. Keadaan pondok buruk itu kotor dan mungkin terdapat cicak, lipas, labah-labah, sarang labah-labah, dan tikus. Perabot-perabot yang ada di dalamnya juga sudah usang dan pecah. Saya berasa amat ngeri melihat keadaan pondok buruk itu.

Jumaat, 23 Julai 2010

Peraduan Bercerita

Di sini, saya ingin menceritakan pengalaman saya dan kawan saya, Khairul Akmal, menyertai Juara Tok Selampit Riang Ria 2010. Guru saya, Cikgu Zuraidah, memberi sebuah cerita untuk dihafal. Ibu saya menolong saya menghafal cerita itu. Cikgu Zuraidah cadangkan saya bercerita dengan gaya syair.


Tajuk cerita itu ialah Abu Nawas. Abu Nawas adalah seorang budak yang cerdik dan pintar. Raja sangat menyayangi Abu Nawas. Para menteri menjadi cemburu dan inginkan raja menyayangi mereka. Abu Nawas dapat mengetahui tentang tipu muslihat mereka. Jika kamu ingin tahu kesudahan ceritanya, sila baca bukunya.

Pada hari pertandingan itu, saya telah memakai sepasang baju kurung Melayu. Cikgu Zuraidah pula telah menggunakan sehelai sapu tangan untuk membuat tanjak. Saya kelihatan seperti Hang Nadim.

Apabila tiba giliran saya untuk membuat persembahan, saya berasa malu. Tetapi selepas saya ternampak muka salah seorang pengadil tersenyum, saya menjadi lebih yakin dan berani. Saya dan kawan saya mendapat sijil emas dan perak. Saya berasa gembira. Saya mendapat sijil dan cakera padat bertajuk Superclassroom Bersama Uncle Jip sebagai hadiah.



Lihatlah video persembahan saya ini.

Rabu, 21 Julai 2010

Dikir Barat

Pada Hari Keharmonian Kaum, saya dan kawan-kawan telah membuat mempersembahkan dikir barat di sekolah.

Kawan-kawan tahu apa itu Dikir Barat? Dikir barat memerlukan ramai murid sebagai awok-awok dan dua murid sebagai Tukang Karut dan Juara. Saya telah dipilih sebagai Tukang Karut dan kawan saya, Nurliyana pula dipilih sebagai Juara.

Dikir barat ini istimewa kerana selain kawan-kawan berbangsa Melayu, kawan-kawan berbangsa India dan Cina juga turut serta dalam dikir barat ini. Kami menyanyikan lagu Tamil, Cina dan Melayu.

Semasa persembahan itu, saya tersilap kata. Tetapi saya bernasib baik kerana tiada orang yang perasan. Saya cepat-cepat memberi mikrofon kepada Nurliyana. Saya berasa lega apabila apabila persembahan selesai. Saya juga berasa gembira dan bangga kerana mendapat tepukan yang kuat daripada kawan-kawan dan guru-guru yang menontonnya.

Selasa, 20 Julai 2010

Bengkel membuat layang-layang di Sekolah Rendah Beacon

Pada hari Sabtu yang lalu, sekolah saya telah mengadakan bengkel 'Photostory'. Aktiviti ini memerlukan saya dan ibu merekodkan aktiviti membuat layang-layang. Kami memilih layang-layang berbentuk kupu-kupu. Kami diberi cat untuk mewarnakan kupu-kupu saya. Selepas saya dan ibu saya mewarnakannya, kami melekatkan lidi dengan gam panas.

Selepas itu tali diikat kepada layang-layang itu. Ibu telah membantu saya mengikat tali ke layang-layang saya itu.

Setelah selesai, kami menerbangkan layang-layang. Saya berasa sungguh teruja.

Malangnya layang-layang saya tidak dapat terbang tinggi kerana angin tidak begitu kuat pada hari itu. Atau mungkin juga layang-layang saya tidak dibuat dengan teliti. Saya harap saya dapat menerbangkan layang-layang buatan saya pada masa lapang. Saya gembira dapat membuat layang-layang bersama ibu.

Saya dan ibu kemudian merekodkan apa yang kami lakukan menggunakan 'Photostory'. Kami memasukkan gamabr-gambar yang diambil dan juga rekodkan suara saya bercerita mengenai aktiviti kami itu. Seronok sekali.

Saya telah menggunakan kaedah 'Photostory' untuk menghasilkan video ini.

Isnin, 12 Julai 2010

Membuat Batik


Dalam salah satu aktiviti di sekolah, saya dan kawan-kawan berpeluang untuk mempelajari cara membuat batik. Pada hari itu, jurulatih batik, Encik Ika telah diundang untuk mengajar kami cara-cara membuat batik. Encik Ika merupakan anak kepada pelukis batik yang terkenal di Singapura, iaitu, Encik Sarkasi Said.


Kawan-kawan hendak tahu cara-cara membuat batik? Inilah cara-caranya.



Pertama sekali, kami menggunakan canting yang mengandungi lilin parafin untuk melukis bunga.


Kemudian, saya menggunakan berus cat dan pewarna untuk mewarnakan gambar bunga anggerik.


Setelah selesai mewarnakannya, lukisan ini dijemur sehingga kering.





Inilah hasil lukisan batik saya dan kawan-kawan.


Setelah selesai menjalani sesi lukisan batik, guru menyuruh kami membuat sebuah karangan mengenai pengalaman kami membuat batik. Saya dapat mengarang dengan baik kerana telah mempelajari pelbagai kosa kata baharu yang ada kaitan dengan proses membuat batik.


Di bawah ini menunjukkan kosa kata yang kami kumpulkan untuk aktiviti ini.

Aktiviti ini sungguh menyeronokkan!






Isnin, 5 Julai 2010

Pengenalan


Selamat datang ke coretan saya. Nama saya Alfaatih.
Saya berumur 9 tahun dan bersekolah di
Sekolah Rendah Beacon.


Aktiviti-aktiviti kegemaran saya pada masa lapang ialah membaca, menonton televisyen, bermain permainan komputer, berbasikal, menangkap serangga, bermain
badminton dan bermain sepatu roda.


Saya suka Bahasa Melayu kerana bahasa ini menarik. Saya dapat belajar membuat pantun, bersyair dan macam-macam lagi.


Pantun ialah cara yang menarik untuk berkommunikasi kerana ianya berirama dan lunak didengar.


Ikutilah coretan saya di blog ini.